SSI PERKASA

SSI  PERKASA

Wednesday, November 17, 2010

ANTOLOGI DIRGAHAYU BAHASAKU-PUISI TRADISIONAL- PANTUN LAPAN KERAT

1. PANTUN LAPAN KERAT

(Harun Mat Piah (Penyelenggara )


Buat bangsal di tengah hutan,

Tebaslah hutan buat halaman,

Di tepi halaman menanam kubis,

Diselang dengan pokok papaya;

Biarlah sabar dengan perlahan,

Itulah tanda tuan beriman,


Tidak patah digoncang syaitan,

Akhirnya tuan menang berjaya.

Ikan teluk parang-parang,

Anak ketam disangka lelabi,

Berburu musim tengkujuh,

Dapat buruan dibelah-belah;

Bukan makhluk sebarang-barang,

Cucu Adam sepaian nabi,

Turun dari langit ketujuh,

Jadi khalifah kepada Allah.


Lengkang-lengkung apa dipaku,

Paku jatuh patah dua,

Menjadi riuh orang di darat,

Anak Cik Itam jatuh jalar;

Bumi kandungan nenek moyangku,

Kerana lalai rosak binasa,

Kebudayaan Timur dinodai Barat,

Bahasa ibunda hina terbiar.


Puisi Melayu Tradisional:Nasihat dan Pengajaran, 2004

Dewan Bahasa dan Pustaka


Tema: tanggungjawab terhadap agama, negara, bahasa dan bangsa


Persoalan:

i. Sifat sabar yang perlu dimiliki untuk berhadapan dengan godaan syaitan.

ii. Kesabaran menunjukkan tahap kekuatan iman yang tinggi ;

iii. Kesabaran mampu memberi kejayaan kepada manusia.

iv. Kemuliaan manusia sebagai pemimpin dunia

v. Kelalaian dan terlalu mengagungkan budaya Barat yang akhirnya merosakkan budaya dan bahasa ibunda di negara sendiri.

vi. Tanggungjawab yang mesti dipikul oleh rakyat negara ini demi kedaulatan budaya dan bahasa ibunda.


Nilai.

i. Kesabaran

ii. Tanggungjawab

iii. Semangat patriotik/jati diri


Pengajaran

i. Kita perlu mempunyai sifat sabar untuk berjaya melawan hasutan syaitan

ii. Kita perlu menjaga amanah yang diberi tuhan sebagai pemimpin di dunia ini.

iii. Kita perlu mempertahankan budaya Timur daripada pupus ditelan budaya Barat

iv. Jangan lalai dengan arus kemodenan yang akhirnya akan merosakkan identiti bangsa dan negara sendiri.


Maksud Pantun

1. Sifat sabar dapat melindungi diri kita daripada godaan syaitan/ memperoleh kejayaan hidup

2. Manusia yang menjadi khalifah di dunia ialah mahkluk pilihan tuhan

3. Budaya Timur yang rosak di negara sendiri kerana pengaruh Barat ; akibat kelalaian rakyat sendiri yang mengagung-agungkan budaya Barat.

4. Bahasa ibunda yang terpinggir di negara sendiri akibat sikap mengagung-agungkan budaya orang lain/budaya Barat

Soalan

i. Berikan maksud pantun dalam rangkap ketiga.

ii. Pada pendapat anda, mengapakah orang yang sabar sentiasa mendapat kejayaan?

iii. Huraikan ciri-ciri orang yang sabar.

iv. Pada pendapat anda , mengapakah kita perlu mempertahankan kedaulatan bahasa ibunda?

v. Sekiranya anda seorang pemimpin, jelaskan langkah-langkah yang akan anda ambil untuk memartabatkan budaya dan bahasa ibunda di negara ini.

No comments:

Post a Comment