SSI PERKASA

SSI  PERKASA

Tuesday, October 26, 2010

HASIL PENULISAN PELAJAR 2010- ESEI

1. RENCANA - NUR ASILAH AZMI 4 CERDIK

BIODIVERSITI


PUNCA-PUNCA TERHADAP ANCAMAN TERHADAP BIODIVERSITI DAN LANGKAH-LANGKAH YANG PERLU DIAMBIL OLEH GOLONGAN REMAJA BAGI MEMBANTU NEGARA MEMULIHARA BIODIVERSITI NEGARA.

Oleh: Nur Asilah binti Azmi

Menurut sains, perkataan biodiversiti berasal daripada dua perkataan, iaitu ‘bio’ yang membawa maksud kehidupan manakala ‘diversiti’ pula bermakna kepelbagaian. Gabungan dua perkataan ini mendukung maksud kepelbagaian kehidupan ataupun boleh juga disebut sebagai kepelbagaian biologi. Biodiversiti mempunyai hubungan yang sangat rapat dengan alam sekitar. Dengan kata lain, biodiversiti terdiri daripada flora, fauna, sumber air dan juga geosains atau lebih popular dengan nama mineral. Untuk lebih difahami, secara keseluruhannya, biodiversitit membawa takrif kewujudan berbagai-bagai spesies tumbuhan dan haiwan dalam persekitaran semula jadi mereka. Negara kita, Malaysia sangat bertuah kerana mengalami iklim Khatulistiwa yang panas dan lembap sepanjang tahun. Faktor ini telah merangsang pertumbuhan pelbagai spesies tumbuhan dan haiwan di Malaysia. Dengan keluasan hutan dianggarkan 58.2% daripada keseluruhan keluasan bekas tanah jajahan British ini, tidak janggal sama sekali jika Malaysia telah diiktiraf sebagai salah sebuah negara antara dua belas negara yang mempunyai biodiversiti terbesar di dunia pada tahun 1992.

Setiap ciptaan dan kurniaan Allah di jagatraya ini sudah tentu mempunyai sebab tertentu dan membawa manfaat kepada manusia. Biodiversiti memainkan peranan yang sangat penting sebagai sumber keperluan asas manusia yang paling utama iaitu makanan, pakaian dan ubat-ubatan. Sebagai contoh, tanaman ulam-ulaman seperti pucuk paku sebagai makanan, buah kapas dapat diproses menjadi pakaian manakala tumbuh-tumbuhan seperti spesies Tongkat Ali dan Kacip Fatimah boleh mengubati penyakit. Selain itu, biodiversiti juga memainkan watak penting dalam fungsi ekosistem dengan melakukan kerja-kerja seperti mengitar semula air, menstabilkan cuaca dan menyuburkan tanah, misalnya tumbuhan hijau membantu menyerap gas karbon dioksida bagi mengelakkan cuaca yang begitu panas dan melalui proses penguraian semula jadi yang unik, flora dan fauna yang mati boleh dijadikan baja untuk menyuburkan tanah. Biodiversiti juga mempunyai nilai estetik yang tersendiri. Kepelbagaian spesies dan warna flora dan fauna memberi kesempatan kepada makhluk Allah manusia beriadah dan menikmati keindahannya sambil memanjatkan rasa syukur dan kagum kepada Allah Yang Maha Esa atas ciptaan yang pelbagai rupa yang menakjubkan. Sebagai contoh tempat yang membolehkan kita bersantai dan menikmati keindahan flora dan fauna ialah Pulau Redang. Yang paling utama, jika dilakukan dengan cara yang betul, kepelbagaian biologi ini juga boleh membantu pertumbuhan ekonomi sesebuah negara. Pokok balak boleh dieksport ke luar negara dan tempat-tempat tertentu boleh dipromosikan sebagai tempat perlancongan. Hal ini seterusnya boleh menjana pendapatan negara dan meningkatkan taraf hidup rakyat.

Namun begitu, kealpaan manusia dalam menjalankan tanggungjawab memakmurkan alam serta melindungi flora dan fauna menyebabkan biodiversiti di negara kita semakin terancam. Terdapat pelbagai punca yang boleh mengancam kewujudan biodiversiti di Malaysia. Ancaman yang paling berbahaya adalah daripada manusia. Lihat sahajalah di sekeliling kita. Pencemaran, pembalakan dan penggondolan hutan, semuanya berlaku kerana perbuatan tidak bertanggungjawab manusia. Hutan-hutan yang dilapangkan untuk tujuan pembangunan telah menyebabkan habitat flora dan fauna musnah. Selain itu, sikap tamak dan mata duitan manusia mengeksploitasi sumber alam secara besar-besaran telah mengancam dan membunuh biodiversiti. Di samping itu, dasar dan polisi pemerintahan yang terlalu obses dengan pembangunan bagi membolehkan negara berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan negara-negara maju seperti Amerika Syarikat dan England turut memburukkan keadaan biodiversiti yang sudah sedia ada terancam. Kesimpulannya, perbuatan manusia sememangnya mengancam biodiversiti negara.

Perubahan iklim sejagat turut mengancam biodiversiti di Malaysia. Kedudukan Malaysia yang berkeluasan 329 733 kilometer persegi yang begitu hampir dengan Garisan Khatulistiwa menyebabkan Malaysia mengalami suhu tinggi 27°C sepanjang tahun dan hujan lebat kira-kira 2 600 mm setahun. Faktor ini menyebabkan pertumbuhan spesies flora dan fauna yang banyak dan subur dan seterusnya membentuk biodiversiti besar seperti sekarang. Namun begitu, iklim dunia yang seakan-akan tidak menentu dan suhu yang semakin meningkat sejak akhir-akhir ini boleh memusnahkan biodiversiti. Kurangnya tumbuh-tumbuhan hijau bagi menyerap gas karbon dioksida telah menyebabkan satu-satunya planet dalam Sistem Suria yang dapat menampung kehidupan, iaitu bumi kita mengalami kesan rumah hijau. Akibatnya, gas-gas karbon dioksida telah memerangkap haba daripada matahari dan menyebabkan suhu bumi meningkat. Banyak spesies haiwan dan tumbuh-tumbuhan pupus kerana tidak mampu bertahan dengan cuaca yang tidak lagi sesuai dengan sistem biologi mereka. Oleh itu, jelaslah bahawa kepupusan flora dan fauna juga berpunca daripada perubahan iklim.

Selain itu, punca lain yang mengancam biodiversiti di Malaysia ialah serangan penyakit. Perkara ini sememangnya menjadi lumrah kehidupan. Sesetengah jenis flora dan fauna mempunyai sistem imun yang rendah dan mudah diserang penyakit. Kematian spesies-spesies ini juga boleh mengancam biodiversiti. Di samping itu, seperkara lagi yang tidak dapat dielakkan ialah penaklukan spesies bagi menguasai habitat-habitat tertentu dalam sisitem biodiversity . Persaingan dan simbiosis wujud di mana-mana sahaja. Dalam sesuatu ekosistem turut berlaku persaingan dan pergaduhan merebut koloni. Pada kebiasaannya, spesies yang kuat akan memenangi pergaduhan dan menakluk kawasan tersebut, manakala spesies yang lemah mungkin mati sebagai akibat daripada pergaduhan tersebut. Oleh itu, dapat kita simpulkan bahawa sesetengah perkara yang menjadi lumrah turut mengancam biodiversiti.

Oleh itu, berpegang pada peribahasa Melayu, “berat sama dipikul, ringan sama dijinjing”, masyarakat khususnya golongan remaja dan belia perlulah bekerjasama membantu negara memulihara biodiversiti negara. Lazimnya, golongan remaja sering kali berpendapat bahawa mereka tidak perlu membantu memulihara biodiversiti dan alam sekitar atas pelbagai alasan. Antaranya ialah mereka masih bersekolah, mereka sibuk dengan aktiviti di sekolah, meluangkan masa dengan keluarga dan rakan-rakan dan seribu satu dalih yang lain. Hakikatnya, golongan remaja hari ini boleh bekerjasama memulihara biodiversiti melalui pelbagai program yang dirangka oleh agensi kerajaan seperti Jabatan Alam Sekitar yang bekerjasama dengan Kementerian Pelajaran Malaysia. Program-program dan aktiviti-aktiviti yang dirangka amat bersesuaian dengan golongan remaja dan langsung tidak membebankan sebaliknya memberi peluang kepada belia memberi sumbangan kepada negara.

Langkah yang pertama yang boleh diambil oleh golongan remaja ialah menyertai kempen alam sekitar. Saban tahun, kempen ini diuar-uarkan di seluruh negara melalui media cetak dan media elektronik. Oleh itu, remaja boleh mengambil pelbagai inisiatif, antaranya menganggotai Rakan Alam Sekitar. Sebagai menyahut seruan dan menunjukkan sokongan padu terhadap kempen alam sekitar ini. Program Rakan Alam Sekitar (RAS) peringkat kebangsaan telah berjaya dilancarkan pada 4 Jun 2009 di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Muar dengan bertemakan ‘Pemanasan Global, Bertindak Sekarang’. Antara aktiviti yang dijalankan oleh Rakan Alam Sekitar ialah gotong-royong, penanaman pokok, pengindahan dan peningkatan kualiti air sungai, seminar alam sekitar dan pembersihan pantai. Kempen ini boleh memupuk kesedaran dalam diri anak watan tentang nilai prihatin dan tanggungjawab terhadap alam sekitar. Oleh hal yang demikian, dapatlah kita rumuskan bahawa Rakan Alam Sekitar merupakan platform terbaik bagi remaja membantu memulihara biodiversiti dan segalanya terletak pada kehendak golongan remaja sendiri, bak kata pepatah, “hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih”.

Bagi mengurangkan kemusnahan hutan dan sumber mineral, pihak kerajaan yang menerajui pemerintahan negara ini telah melancarkan kempen kitar semula menggunakan tong tiga warna. Tong bewarna biru untuk kertas dan surat khabar, tong bewarna coklat untuk botol kaca, manakala tong bewarna oren untuk tin aluminium dan plastik. Langkah ini merupakan antara langkah yang paling bijak bagi memulihara biodiversiti. Hal ini kerana dengan kitar semula, pelbagai sumber alam seperti kayu balak dan bahan galian dan mineral seperti aluminium tidak perlu dieksploitasi secara besar-besaran kerana bahan-bahan yang sedia ada yang telah digunakan dapat diproses semula untuk menjadi produk yang baru. Golongan belia seharusnya menyambut baik kempen ini dan kumpulkan segala bahan yang boleh dikitar semula. Tambahan pula, tong tiga warna itu boleh didapati di mana-mana sahaja, termasuk di sekolah. Tuntasnya, kitar semula boleh membantu memulihara biodiversiti negara.

Langkah seterusnya adalah dengan menyertai seminar atau bengkel alam sekitar. Seminar atau bengkel ini merupakan jalan terbaik untuk membentuk perasaan cinta dan sayang terhadap alam sekitar. Selain itu, seminar atau bengkel ini dapat menyemai dan memupuk sikap prihatin dan rasa bertanggungjawab terhadap alam sekitar. Bersesuaian dengan peribahasa, “melentur buluh biarlah dari rebungnya”, pendedahan terhadap kepentingan menguruskan alam sekitar dan sumber biodiversiti dengan baik terhadap masyarakat khususnya belia dan kanak-kanak kecil penting bagi membentuk sikap dan tingkah laku manusia apabila menguruskan sumber biodiversiti dan alam sekitar. Oleh itu, dapat kita simpulkan bahawa pendedahan sejak kecil amat penting bagi membantu memulihara biodiversiti.

Apakah pula peranan remaja yang bergelar siswa dan siswi di institut pengajian tinggi? Sebenarnya, siswa dan siswi yang berada di pusat-pusat pengajian tinggi boleh memainkan peranan untuk memelihara biodiversiti dengan menggunakan kreativiti mereka, mereka cipta alat-alat jentera dan elektonik yang mesra alam. Hal ini telah dibuktikan oleh sekumpulan pelajar dari Universiti Putera Malaysia apabila berjaya menghasilkan enjin kenderaan yang menggunakan minyak kepala sawit sebagai bahan bakar. Hasil penemuan ini, memungkin pengurangan pengunaan bahan-bahan galian seperti petrolium yang akhirnya mampu pula mengurangkan penggalian bahan mineral dari perut bumi. Natijahnya , kepelbagain biologi terutamanya hidupan laut dapat dipulihara dengan baik.

Natijahnya, kepupusan flora dan fauna di negara ini berpunca daripada sikap manusia yang bertindak sesuka hati, umpama “beraja di mata, bersultan di hati”. Sikap-sikap ini jugalah yang telah menimbulkan kesan yang tidak diingini terhadap biodiversiti seperti kematian kehidupan akuatik, kepupusan flora dan fauna dan pemanasan global yang menjejaskan kehidupan alam. Langkah-langkah pemuliharaan perlulah diambil dengan segera bagi memulihkan semula biodiversiti di negara kita. Hal ini semua adalah demi kebaikan semua umat manusia, bersesuaian dengan cogan kata, “Cintailah Alam Sekitar”. Ingatlah bahawa Allah SWT amat tidak menyukai orang-orang yang melakukan kerosakan di muka bumi maka peliharalah ala mini dari terus dimusnahkan oleh makhluk ciptaan bergelar manusia.

Nur Asilah Azmi

4 Cerdik 2010

_____________________________________________________________________

2. ULASAN FILEM- JARRED LEE 4 CERDIK


Nama Filem : Perang

Nama Penerbit : Ahmad Nabil

Nama Pengulas : Jarred Lee

Ahmad Nabil atau ada kalanya dia menggunakan masa A.N. Kabur sudah tidak asing lagi dalam dunia penerbitan filem tempatan dan bidang penulisan kreatif. Selain menulis cerpen, Ahmad Nabil juga menghasilkan skrip drama, novel dan filem. Antara karyanya yang tersohor yang telah dijadikan filem ialah antologi cerpen Kampung Halaman dan Terima Kasih Tuhanku. Sebagai seorang cerpenis dan novelis, beliau telah memenangi beberapa hadiah. Antologi cerpen Terima Kasih Tuhanku telah memenangi Hadiah Karya Sastersa. Beliau juga telah memenangi Hadiah Karya Sastera dengan cerpen Burung Tiung. Dalam Sayembara Esso-Gapena tahun 1990, cerpen Capa Rengat telah memenangi tempat pertama. Ahmad Nabil telah menerima Anugerah Novelis Muda dan Anugerah Penulis Muda. Oleh itu tidak hairanlah novelnya, Perang yang amat hebat telah dijadikan filem untuk ditonton oleh orang ramai. Novelnya, Perang yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka dalam tahun 1994 merupakan salah satu novel yang Berjaya mengangkat nama beliau dalam dunia penulisan dan kesusasteraan Melayu. Mengapakah saya memilih filem ini untuk dikupas dan diulas? Jawapannya sudah pastilah filem ini mempunyai seribu keistimewan yang tersendiri yang tidak ada pada filem yang lain.

Filem Perang mengisahkan kegigihan kehidupan seorang askar tua yang bernama Edward bersama-sama dengan rakan-rakannya yang terpaksa mengharungi pelbagai halangan dan cabaran dalam usahanya untuk menyelamatkan seorang gadis muda yang bernama Sandra yang ditemui olehnya ketika sedang berperang di sebuah pulau yang bernama Valiena. Walaupun usia Edward dan rakan-rakannya telah lanjut namun mereka gagah dan berani untuk menghadapi apa-apa cabaran dan halangan. Edward sanggup mempertaruhkan nyawanya dengan meninggalkan rakan-rakannya untuk menyelamatkan gadis yang dicintainya. Edward terpaksa menghadapi pelbagai cabaran termasuk cabaran mempertahankan maruahnya sebagai seorang askar dan juga rakannya sendiri. Edward amat tertekan apabila memikirkan masa semakin suntuk sebelum Sandra dibunuh oleh pihak musuh. Edward hanya mempunyai masa 20 minit sahaja untuk menyelamatkan Sandra daripada sebuah bangunan kerajaan sebelum rakan-rakannya mengebom bangunan tersebut. Selain itu, Ahmad Nabil berjaya mengisahkan cerita tersebut hingga jalan ceritanya begitu realistik seperti dunia sebenar. Ahmad Nabil telah mengisahkan adegan pengeboman bangunan kerajaan tersebut dengan begitu teliti sekali sehingga penonton sendiri berasa bahawa kisah tesebut benar-benar berlaku dalam minda mereka. Dunia realiti filem ini seakan-akan benar-benar terjadi, hidup, dan menyayat hati penonton, tontonlah filem ini jika anda ingin mengalaminya!

Selain itu, keistimewaan, kelebihan dan daya tarikan filem ini juga terletak pada temanya. Tema keberanian yang cuba digarap dan diketengahkan oleh pengarang telah berjaya menggamit hati penonton. Tidak semua pengarang berjaya menggarap dan membicarakan tema keberanian terhadap tugasnya terutamanya keberanian seorang askar terhadap misi yang diberikan kepadanya. Dalam filem Perang, Edward dan rakan-rakannya berani terhadap misi yang diberikan kepada mereka oleh Pengarah FBI, Arnold Nullen dengan menarik sehingga penonton sendiri dapat mengalaminya. Bagi membuktikan keberanian Edward dan rakan-rakannya, mereka sanggup mempertaruhkan nyawa mereka untuk menyelesaikan misi tersebut walaupun mereka tahu bahawa pihak musuh jauh mempunyai lebih banyak askar dan senjata yang lebih moden. Yang lebih menarik dan istimewa tentang tema novel ini ialah apabila Edward akhirnya menemui gadis yang dicintainya tetapi gadis tersebut diculik oleh musuh utamanya dan Edward terpaksa menggadaikan nyawanya untuk menyelamatkan gadis yang dicintainya daripada pihak musuh. Tema tersebut telah berjaya digarap dengan berkesan hingga timbul tersebut dalam diri penonton.

Di samping itu, keistimewaan dan kekuatan filem ini juga terletak pada watak utamanya. Edward merupakan watak utama filem ini yang mempunyai pelbagai keistimewaan yang harus diteladani dan dijadikan suri teladan oleh semua penonton. Wataknya yang suka akan cabaran mendorong Edward untuk meredah dan merentasi hutan dan gunung untuk menyelesaikan misinya. Keberanian Edward terserlah apabila beliau berjaya membunuh sepuluh orang musuhnya di dalam hutan pada waktu malam dengan menggunakan sebilah pisau sahaja. Edward tidak gentar berhadapan dengan pihak musuhnya yang sentiasa mencuba untuk membunuhnya. Namun begitu di sebalik kekerasan, Edward memiliki banyak keistimewaan. Wataknya yang romantik lagi sanggup berkorban untuk Sandra telah membuka hati Sandra untuk menerima cinta Edward yang akhirnya membawa mereka ke alam percintaan. Hati Sandra mula terbuka apabila dia merealisasikan kesanggupan Edward mempertaruhkan nyawanya untuk menyelamatkan Sandra daripada pihak musuh. Ketaatan dan kepatuhan Edward kepada peraturan dan undang-undang juga haruslah dijadikan teladan kerana walaupun keadaan semakin genting dan beliau tidak mempunyai laluan untuk melarikan diri, Edward tetap menunaikan kewajibannya sebagai seorang askar dan terus berjuang untuk mencapai misinya. Kemantapan fikiran dan kepantasan perlakuannya menyebabkan Edward dihormati oleh rakan-rakannya sebagai seorang ketua kumpulan yang amat berdedikasi dan bertanggungjawab. Justeru, semua lelaki wajar mencontohi watak Edward.

Perkara yang lebih menarik lagi tentang filem ini ialah unsur suspen dan konflik yang terdapat dalam filem ini. Suspen ialah perasaan tanda tanya penonton tentang peristiwa yang bakal berlaku ketika keadaan sedang benar-benar tegang dan mencemaskan. Dalam filem Perang, unsur suspen timbul ketika Edward sedang berlawan dengan seorang rakan seperjuangannya yang lama yang telah menyertai pihak lawan. Rakan lamanya mengugut Edward bahawa dia akan membunuh salah seorang daripada rakan karib Edward sementara mereka bertiga pernah menjadi rakan sekumpulan dahulu. Di sinilah timbul unsur suspen. Adakah Edward akan membunuh rakan lamanya yang berubah sikap atau membiarkan rakan sekumpulannya dibunuh oleh rakan lamanya? Pada saat ini Edward mengalami kemuncak konflik selama ini. Pada waktu Edward hendak menembak kawan lamanya, kawan lamanya menumbuk kawan sekumpulannya di bahagian muka. Penonton mula berasa suspen apabila Edward dihimpit tanggungjawab mempertahankan maruahnya sebagai seorang askar dan tanggungjawab menyelamatkan kawan sekumpulannya. Edward akhirnya menembak kawan lamanya di bahagian beberapa inci di atas jantung. Melalui cara ini, kawan lamanya tidak ditembak mati dan pada masa yang sama kawan sekumpulannya berjaya diselamatkan.

Dalam filem Perang banyak sekali unsur moral, pengajaran dan nilai murni yang boleh diteladani dan dicontohi serta dijadikan pedoman oleh semua penonton. Justeru, filem ini sangat sesuai dalam memupuk nilai-nilai positif dalam kalangan penonton. Semangat bersatu padu, tolong-menolong dan bekerjasama merupakan satu lagi nilai yang dapat dicungkil daripada filem ini. Sikap Edward dan rakan-rakannya yang berganding bahu untuk mencapai matlamat dijadikan teladan. Melalui sikap ini, si penonton mendapat tahu bahawa sesuatu kerja yang berat dapat diselesaikan dengan mudah sekiranya mengamalkan sikap tolong-menolong dan bekerjasama. Yang jelas ialah jika pembaca ingin tahu nilai dan pengajaran seterusnya, maka tontonlah filem ini.

Sebagai kesimpulan, filem Perang merupakan filem yang bermutu dan sesuai ditonton oleh segenap lapisan masyarakat. Malahan filem yang berharga RM9.00 ini mampu dimiliki oleh semua pihak. Kerajaan memastikan bahawa filem ini dijual di semua kedai filem di seluruh Negara agar dapat dinikmati oleh semua rakyat. Lebih-lebih lagi, filem ini haruslah diterjemahkan kepada bahasa-bahasa lain seperti bahasa Inggeris, Cina dan Tamil agar dapat dihayati dan ditonton oleh rakyat berbilang bangsa. Justeru, saya ingin mengajak seluruh peminat filem untuk sama-sama menghayati kehebatan filem ini. Ayuh para penonton, marilah kita bersama-sama menonton filem ini dan segera dapatkan filem ini di pasaran.

( 1000 PATAH KATA )

JARRED LEE

4 CERDIK 2010




3. PENDAPAT - KOH YUN XIN

KEPENTINGAN MENGUASAI LEBIH DARIPADA SATU BAHASA

Kepentingan menguasai lebih daripada satu bahasa dalam kalangan pelajar di negara ini.

Dalam dunia yang serba moden ini ,persaingan anatra individu dikatakan makin hari makin sengit memandangkan kemajuan pesat dalam teknologi ,komunikasi dan globalisasi .Keadaan ini bukan sahaja membabitkan orang dewasa yang sudah menjejakkan diri ke dalam dunia kerjaya ,malah melibatkan pelajar-pelajar yang masih setahun jagung dan berada di bangku sekolah . Sebagai seorang pelajar yang menuntut di Malaysia yang mempunyai diversiti etnik dan budaya yang luas ,kita harus berusaha untuk melengkapkan diri kita dengan pelbagai kekuatan sama ada dari segi intelek mahupun rohani supaya kita tidak keciciran dalam arus kemajuan yang sedang ganas menerjah dunia sejagat .Antara isu yang harus kita ambil kira untuk menyempurnakan akal dan kebolehan kita ialah penggunaan lebih daripada satu bahasa .Bahasa dapat diistilahkan sebagai satu wahana yang penting bagi menjana komunikasi berkesan dalam jagatraya ini . Persis kata Dr Johnson ,bahasa itu pakaian akal ,bahasa itu pakaian otak,bahasa itu kemajuan bangsa ,kita seharusnya prihatin terhadap alibi ini dan berusaha untuk mengenal pasti kepentingan menguasai lebih daripada satu bahasa dalam kalangan pelajar agar tidak menyesal pada hari muka .

Ilmu itu kekuatan bangsa . Sesuatu bangsa yang berilmu dianggap sebagai manusia dunia pertama yang berpotensi memimpin dan mengetuai kemajuan sejagat . Sebagai rakyat Malaysia yang berwawasan ,kita seharusnya mempelajari lebih daripada satu bahasa supaya dapat menguasai ilmu yang pelbagai. Memandang daripada persepsi yang lebih luas ,kita memang harus mengakui bahawa nagara-negara asing termasuklah negara-negara Eropah, Afrika ,Amerika Syarikat ,Australia dan negara-negara jiran Asia Tenggara telah menawarkan pelbagai ilmu yang setanding dengan khazanah ilmu Malaysia . Bahawasanya, teknologi mereka adalah maju berbanding negara kita yang masih bergiat aktif untuk menjejakkan langkah ke satu ambang yang baru . Sebagi contoh ,seseorang pelajar yang pandai dalam Bahasa Inggeris dapat mengambil rujukan daripada buku-buku negara Amerika Syarikat untuk mendalami ilmunya dalam bidang astronomi yang kurang mendapat perhatian di Malysia. Manifestasinya , dengan menguasai lebih daripada satu bahasa kita dapat memperoleh ilmu daripada sumber yang beraneka untuk menjadikan diri manusia tamadun madani yang pintar .

Sementara itu ,kita juga dapat berkomunikasi dalam masyarakat dengan lebih mudah dan berkesan sekiranya kita mempunyai lebih daripada satu bahasa dalam tangan kita . Dalam masyarakat Malaysia yang berbilang kaum ,kita mempunyai lebih daripada 50 etnik di seluruh negara dan hal ini menjadi tunjang kepada kepelbagaian bahasa di negara kita . Bak kata peribahasa ,tak kenal maka tak cinta ,melalui penguasaan dua atau tiga bahasa , kita dapat berkomunikasi dengan mereka yang berlainan kaum dengan kita dalam bahasa ibunda mereka . Sebagai contoh ,seseorang pelajar Melayu yang dapat bertutur dengan fasih dalam bahasa Cina atau bahasa India sudah pasti akan mendapat lebih ramai kenalan berbanding yang lain kerana dalam kalangan rakyat kaum Cina dan India masih terdapat segelintir orang yang agak lemah dalam penguasaan bahasa kebangsaan .Dengan ini ,hubungan silaturahim antara rakyat Malaysia yang berbilang kaum akan terjalin secara tidak langsung kerana rakyat pelbagai kaum dapat bersuka ria dan beramah mesra tanpa batasan bahasa.

Mutakhir ini ,fenomena pengangguran dalam kalangan graduan bukan lagi satu polemik yang remeh .Walaupun universiti atau institusi pengajian tinggi berusaha untuk membaiki prestasi para graduan namun kini majikan lebih suka mengubah pekerja yang bukan sahaja cemerlang dari segi akademik tetapi pandai juga membabitkan diri dalam pergaulan sosial .Bagi memenuhi kriteria ini ,kita sewajarnya menguasai lebih daripada satu bahasa supaya bahasa-bahasa tersebut dapat melayakkan kita bersaing dengan orang lain untuk mendapat pekerjaan.Misalnya ,semasa sesi temu duga diadakan ,seseorang bakal pekerja yang fasih dalam Bahasa Melayu ,Bahasa Inggeris ,Bahasa Cina dan Bahasa Arab sudah tentu mudah mendapat perhatian penguji yang mungkin kagum dengan kekuatan bahasanya dan secara langsung bakal pekerja tersebut lebih berpeluang dipilih berbanding yang lain .Deduksinya, menguasai lebih daripada satu bahasa bukan bererti kita tidak setia kepada bahasa kebangsaan kita malah merupakan satu alternatif bagi kita menyumbangkan tenaga kepada pembangunan ekonomi negara .

Kebelakangan ini ,program pertukaran pelajar dikatakan kian rancak diusahakan di negara kita .Hal ini berlaku kerana kerajaan kita sedar bahawa pemindahan teknologi hanya akan membuahkan hasil yang lumayan dari sudut jangka masa panjang jika pelajar kita dapat mempelajari dan mengimplementasika ilmu daripada negara luar di negara kita . Sebagai tukaran ,pelajar-pelajar asing akan mengunjungi Malaysia dan menyertai proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah kita bagi tempoh yang tertentu. Dalam masa mereka berada di Malaysia,pelajar-pelajar tempatan boleh berkomunikasi dengan mereka dalam Bahasa Inggeris kerana tidak semestinya pelajar asing tersebut memahami bahasa kebangsaan kita.Hal ini membuktikan bahawa bahasa memainkan peranan yang dominan dalam penjalinan hubungan diplomatik . Bagi meningkatkan keefisienan penyampaian idea kepada warga asing , pelajar-pelajar kita sewajarnya mempelajari bahasa asing seperti Bahasa Jepun, Bahasa Korea mahupun Bahasa Rusia . Konklusinya ,pelajar-pelajar dapat berbakti kepada tanah air tercinta dengan menyumbang tenaga dalam mempererat hubungan dua hala antara Malaysia dengan negara asing jika kita mampu menguasai lebih daripada satu bahasa.

Kesimpulannya ,penguasaan lebih daripada satu bahasa terbukti dapat mendatangkan pelbadai kemaslahatan kepada individu ,masyarakat dan negara daripada pelbagai aspek .Dari segi politik ,Malaysia dapat berurusan dengan negara asing dengan lebih lancar jika bahasa-bahasa yang berbeza dapat dikuasai oleh rakyat.Dalam jurusan ekonomi pula ,Malaysia dapat meningkatkan perdagangan antarabangsa dan pelaburan di luar negara dengan wujudnya pelajar yang berupaya menjaga kepentingan negara di negara-negara asing . Dari aspek sosial ,hal ini pula dapat meningkatkan integrasi nasional yang juga dapat membantu Malaysia mengecapi gagasan ‘1 Malaysia’ selaras dengan prinsip perpaduan yang menjadi pegangan semua rakyat Malaysia . Renungilah puisi di bawah ini untuk meyakinkan kita lagi tentang kepentingan bahasa-bahasa dalam kehidupan rutin kita .

Yang kurik itu kundi ,

Yang merah itu saga,

Yang baik itu budi ,

Yang indah itu bahasa.

( 800 PATAH KATA )

KOH YUN XIN

4 BISTARI


4. PENDAPAT

CARA-CARA MENANGANI MASALAH SOSIAL DALAM KALANGAN REMAJA

- JALIAH SAADAH 4 BIJAK


Ketika negara sedang rancak menari bersama-sama arus pembangunan pada pascamerdeka ini, gejala sosial acap kali menjadi buah mulut di alma mater . Lebih-lebih lagi , permasalahan sosial dalam kalangan remaja yang sudah mencapai tahap yang membimbangkan . Walaupun pelbagai formula telah diaplikasikan untuk menyelesaikan masalah ini , namun semuanya bagai mencurah garam ke laut. Mungkinkah terdapat kesalahan dalam usaha-usaha tersebut ? Atau mungkin kini semua pihak perlu mengorak langkah untuk mengatasi masalah gejala sosial dalam kalangan remaja . Tirai dibuka untuk berbicara.

Sedang negara berusaha mencapai taraf lima bintang dalam bidang ekonomi , sosial dan politik , kerajaan merupakan jantung sesebuah negara. Kerajaan perlu mengorak langkah yang proaktif dan drastik dalam menangani masalah sosial remaja . Pada masa ini , kerajaan perlulah menggubal rang undang-undang juvana .Setelah diluluskan , pihak kerajaan perlu bergabung usaha dengan pihak polis dan swasta supaya undang-undang tersebut dapat diselaraskan dan diaplikasikan dalam masyarakat , contohnya remaja yang ditangkap membuli atau mencuri perlulah diletakkan di dalam sebuah sekolah remaja bermasalah . Dengan cara ini , remaja akan takut dan insaf kerana mereka tidak mahu dipisahkan dengan keluarga dan sahabat . Remaja yang sering terlibat dalam gejala sosial seperti mencuri atau merompak akan berfikir berulang kali untuk melakukan kesalahan . Natijahnya , undang-undang ini jangan hanya gah di atas kertas namun perlaksanaanya tidak ada . Kerajaan dan pihak swasta perlu bekerjasama dan jangan berpegang pada prinsip bagai enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing

Seperti ucapan mantan perdana menteri kita , Tun Dr.Mahathir ,

" sekolah merupakan sebuah kilang yang memproses modal insan yang berkualiti untuk menandingi ekonomi yang semakin ligat ."

Kenyataan ini menunjukkan betapa pentingnya sekolah dalam mengajar dan mendidik remaja dari zaman persekolahan supaya menjadi orang yang berguna kelak . Proses pembelajaran yang menekankan nilai-nilai moral dan agama boleh disampaikan menerusi mata pelajaran Sivik dan Kewarganegaraan , Pendidikan Moral dan Pendidikan Agama Islam . Dengan ini , akidah dan asas keimanan remaja dapat ditanamkan dan seterusnya mereka akan mengaplikasikan nilai-nilai yang baik sesuai dengan nilai norma kehidupan yang murni . Cara penyampaian dan persefahaman antara guru dan murid juga dapat menjadikan mereka memahami antara satu sama lain dan dapat memperbetul dan mencorak tingkah laku dan adab-adab murid tersebut . Seperti kata penulis terkenal Malaysia ,Noordin Hassan , "guru yang sederhana memberitahu, guru yang baik menjelaskan , guru yang hebat menunjukkan cara dan guru yang agung menjadi inspirasi."

Keukuhan institusi kekeluargaan bagaikan cerucuk yang tegap dalam asas pembinaan sebuah bangunan . Jadi ibu bapa yang akan mengambil watak protagonis dalam mengukuhkan institusi tersebut . Sebagai ibu bapa , mereka perlu menonjolkan sikap yang baik , di samping menasihati anak-anak akan akibatnya jika menjadi remaja yang terjebak dengan dadah , seks bebas dan budaya lepak . Penerangan yang berhikmah dan tutur kata yang lembut dapat mendatangkan kesan keinsafan berbanding cemeti yang panjang dan kata-kata kesat . Penerapan asas agama daripada kecil perlu dititikberatkan . Amalan pantang-larang daripada generasi nenek moyang seperti larangan memotong kuku pada waktu malam , anak dara tidak elok duduk di serambi rumah dan makan menggunakan tangan kanan. Selain memelihara amalan-amalan ini supaya tidak dilupakan , ibu bapa juga dapat mendisplinkan cahaya mata mereka secara tidak langsung . Ibu bapa perlu mengelakkan prinsip seperti ketam mengajar anaknya berjalan dalam membentuk sebuah keluarga.

Dalam pada itu , media massa juga merupakan pihak perdana yang dapat menyumbang tenaga dalam mengatasi masalah gejala sosial dalam kalangan remaja . Remaja yang baru berumur setahun jagung sering kali tergelincir dari landasan keimanan . Tambahan pula corak penyiaran yang bertemakan keseronokan dunia sahaja disiarkan oleh televisyen . Media massa mahupun media cetak perlu menyiarkan progaram-program yang bertemakan ketuhanan dan drama-drama yang menekankan nilai-nilai moral . Tamsilannya , sebuah stesen televisyen , ASTRO yang menjadikan salah satu saluran penyiarannya hanya berorientasikan keagamaan , kisah-kisah teladan dan ceramah-ceramah menarik iaitu ASTRO OASIS. Kaedah ini bukan sahaja dapat menarik warga tua malah golongan remaja . Melalui inisiatif ini ,remaja akan menjadikan jurang dirinya dengan gejala sosial semakin jauh kerana mereka takut akan pembalasan di akhirat kelak. Untuk menjadikan pemuda harapan bangsa , pemudi tiang negara , semua pihak pengurusan televisyen tidak kira Melayu , Cina ataupun India , agama atau kepercayaan perlu menyediakan program-program sebegini .

Akhir sekali ialah keyakinan pada diri sendiri . Kelemahan ketahanan melawan hawa nafsu dan godaan merupakan faktor premier remaja terjebak dalam gejala sosial .Pegangan yang baik diikuti , yang jahat dijauhkan perlu ditanamkan dalam jiwa remaja . Tiada siapa yang dapat mengubah diri kita melainkan diri sendiri . Kini, zaman sudah berubah , negara kian maju, maka sudah mestilah pelbagai kebudayaan luar juga telah dibawa masuk . Namun remaja perlu berijtihad menggunakan akal yang dikurniakan untuk menyesuaikan kebudayaan Barat dengan kebudayaan sendiri. Perkara ini telah dapat ditunjukkan dalam proses pembentukan tamadun Indus yang akhirnya membawa kecermelangan tamadunnya.

Tiada kusut tidak dapat dileraikan , tiada masalah tidak dapat diselesaikanmaka sebagai sebuah negara yang ingin duduk sama rendah berdiri sama tinggi dengan negara-negara gergasi di duni, semestinya kita mahu mengurangkan masalah-masalah sosial daripada menular . Formula-formula yang telah dicipta dan langkah-langkah yang baru perlu dipraktikkan . Dalam sebuah masyarakat pula kita perlu berpegang pada prinsip menjaga tepi kain orang supaya kita dapat melahirkan masyarakat yang aman dan soleh . Jelaslah bahawa jalinan kerjasama antara kerajaan, sekolah , ibu bapa dan media massa amatlah diperlukan untuk mengekang gejala sosial yang semakin membimbangkan setiap jiwa dan perasaan anggota masyarakat. Yakinlah pada peribahasa bulat air kerana pembentung , bulat kata kerana muafakat mampu menghadang fenomena ini dari terus berleluasa dalam kalangan remaja.

JALIAH SAADAH

4 BIJAK

(768 patah perkataan )


2 comments:

  1. Asilah punya je ke, cikgu?
    Nisa Ali Hasan punya bila cikgu nk post?
    Haha

    ReplyDelete