SET 1 – PAHLAWAN BUNTUNG
Soalan 2(b) – Petikan Cerpen
Baca petikan cerpen di bawah dengan teliti,kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.
Dalam keadaan kami diselubungi oleh raksasa ketakutan dan putus asa, tiba-tiba Pak Husain menjongol dalam lingkungan kami di Kampung Dal. Tiap-tiap kami berasa bahawa kehadirannya bersama-sama cerita yang dibawanya, tanpa disedarinya telah memanjatkan gelaran `pahlawan` kepadanya. Ceritanya begini:
Waktu kami akan berangkat meninggalkan pangkalan, Pak Husain dalam perjalanan kerana memeriksa barang-barang rumahnya. Dengan tiba-tiba dia dicegat oleh dua orang tentera Jepun. Rupa-rupanya Jepun itu boleh berbahasa Melayu. Dia kenal orang Melayu. Dengan senapangnya, dia memaksa Pak Husain menguburkan mayat-mayat tentera dan orang mati. Ketika beberapa orang Jepun itu mahu mencari orang-orang kampung, Pak Hussain menyatakan semuanya sudah lari. Sekaliannya sudah pindah. Akibat daripada sikapnya yang berani itu, Jepun tidak turun ke pengkalan. Pak Husain dipaksa menggali kubur besar. Mayat-mayat yang berpuluh-puluh (di pantai Pak Amat sahaja) dikuburkan beramai-ramai. Dia bekerja sehari suntuk. Darah menyimbah ke seluruh badannya. Dia seorang diri. Hingga menjelang senja (dia pun diberi makan biskut dan air oleh tentera Jepun), dia meminta kepada tentera yang pandai berbahasa Melayu itu, mahu membuang air besar. Ketika itulah dia mengambil peluang untuk melarikan diri. Pak Hussain menyeberangi sungai ke Tuk Lukup. Dari Tuk Lukup dia berjalan kaki ke Sungai Gali.
(Dipetik daripada cerpen “Pahlawan Buntung”, oleh S. Othman Kelantan,
dalam antologi Dirgahayu Bahasaku, Dewan Bahasa dan Pustaka)
(i) Apakah perkara-perkara yang terpaksa dilakukan oleh Pak Husain setelah bertembung dengan tentera Jepun.?
[2 markah]
(ii) Pada pendapat anda, apakah usaha-usaha yang boleh dilakukan untuk mengenang jasa
pahlawan seperti Pak Hussain? Berikan tiga usaha.
[3 markah]
(iii) Berikan dua latar tempat yang terdapat dalam petikan cerpen di atas dan dua latar tempat lain yang terdapat dalam keseluruhan cerpen tersebut.
[4 markah]
SKEMA JAWAPAN
SET 1 – PAHLAWAN BUNTUNG
Soalan 2(b) – Petikan Cerpen
(i) Dua perkara yang dilakukan oleh Pak Hussain setelah bertembung dengan tentera Jepun (2m)
1. Menguburkan mayat tentera dan orang mati.
2. Menguburkan berpuluh-puluh mayat seorang diri.
3. Gali kubur besar.
(ii) Tiga usaha untuk mengenang jasa pahlawan seperti Pak Husain. (3m)
1. Menulis jasa-jasa pahlawan seperti Pak Husain dalam bentuk media cetak dan media elektronik.
2. Memberikan pingat dan anugerah.
3. Memberikan bantuan untuk memulakan perniagaan
4. Mengadakan satu pertubuhan atau persatuan yang mengurus kebajikan mereka
5. Mewujudkan satu pertempatan untuk pahlawan yang cedera
6. Mewujudkan satu skim istimewa sepertim pakej rawatan kelas pertama di hospital
(iii) Berikan dua latar tempat yang terdapat dalam petikan cerpen (4m)
1. Di pantai Pak Amat untuk menguburkan berpuluh-puluh mayat
2. Sungai untuk ke Kampung Tuk Lukup semasa melarikan diri
3. Sungai Gali semasa melarikan diri
Dua latar tempat lain yang terdapat dalam keseluruhan cerpen tersebut.
1. Kampung Dal – tempat penduduk Kampung Pulau Pak Amat menumpang semasa perang
2. Pulau Tukang Dolah –kubu yang telah diserang dan ditawan oleh askar Jepun
3. Pulau Panjang -–kubu yang telah diserang dan ditawan oleh askar Jepun
4. Pengkalan Cepa –kubu yang telah diserang dan ditawan oleh askar Jepun
5. Di dalam perahu apabila penduduk kampung tersedar Pak Husain tiada dalam perahu.
6. Di kota semasa pertemuan Khalid dan Pak Husain untuk menyambut ulang tahun kemerdekaan negara.
SET 2 – PAHLAWAN BUNTUNG
Soalan 2(b) – Petikan Cerpen
Baca petikan cerpen di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.
Aku dapat bayangkan apa yang akan berlaku ke atas kami sekaliannya yang di pangkalan kalau tentera-tentera Jepun itu sempat turun. Bukankah keberanian dan sikap Pak Husain membohongi tentera Jepun itu telah menyelamatkan kami? Alangkah besar jasanya. Alangkah!
Kisah Pak Husain dipaksa supaya menguburkan mayat sehari suntuk telah berkembang dari mulut ke mulut. Kisah itu mengapung terus dari Kampung Dal ke kampung-kampung yang lain. Berkembang di Tebing Tinggi, di Dasar,di Kemumin, di Pancur, di Pulau Tukang Dolah dan di Teluk Kitang. Cerita itu tidak dirasakan baktinya selain kami penghuni asli kampung Pak Amat.
Pak Husain telah menyelamatkan kami!
Kisah Pak Husain tidak berakhir di situ sahaja. Ketika Jepun menyerah pada tahun empat puluh lima, waktu itu rompakan menjadi-jadi. Rompakan berlaku di Tuk Lukup. Berlaku di Sabak. Berlaku di Pengkalan Datu. Awan ketakutan berkembang hitam di tiap-tiap buah kampung yang agak terpencil. Ketika pendaratan perompak di Kampung Pak Amat, Pak Husain telah membedil kawanan perompak yang masih di dalam perahu. Senapangnya yang diambil daripada seorang askar Punjabi yang telah mati (waktu dia menguburkan mayat-mayat mereka pada permulaan perang), telah dipergunakan buat pertama kali. Bedilannya itu telah menyelamatkan rumah Pak Ngah Isa. Menyelamatkan semua orang kampung. (Akhirnya Pak Husain menyerahkan senapang itu kepada kerajaan apabila semuanya normal).
(Dipetik daripada cerpen “Pahlawan Buntung”, oleh S. Othman Kelantan,
dalam antologi Dirgahayu Bahasaku, Dewan Bahasa dan Pustaka)
(i) Berikan dua tindakan Pak Husain yang telah menyelamatkan orang kampung.
[2 markah]
(ii) Pada pendapat anda,apakah langkah-langkah yang boleh dilakukan untuk memupuk semangat patriotisme dalam diri pelajar? Kemukakan tiga cadangan anda.
[3 markah]
(iii) Huraikan satu nilai murni yang terdapat dalam petikan dan satu nilai murni lain yang
terdapat dalam keseluruhan cerpen.
[4 markah]
SKEMA
SET 2 – PAHLAWAN BUNTUNG
Soalan 2(b) – Petikan Cerpen
(i)Dua tindakan Pak Husain yang telah menyelamatkan orang kampung. (2m)
1. Keberanian dan sikap Pak Husain membohongi tentera Jepun
2. Membedil kawanan perompak yang masih di dalam perahu
(ii)Tiga langkah untuk memupuk semangat patriotisme dalam diri pelajar. ( 3 m)
1. Belajar dengan bersungguh-sungguh supaya dapat berbakti kepada negara
2. Menghormati lambang-lambang kebesaran negara
3. Membaca lebih banyak buku sejarah tentang pejuang-pejuang negara
4. Mengharumkan nama negara dengan melibatkan diri dalam aktiviti yang berfaedah
5. Tidak terlibat dengan gejala sosial
6. Melawat tempat-tempat bersejarah
7. Sentiasa membaca dan mengikuti perkembangan negara lain yang sentiasa berlaku pemberontakan sebagai peringatan kepada diri pelajar agar menyayangi keamanan yang dinikmati negara.
(iii)Satu nilai murni yang terdapat dalam petikan (3m)
1. Nilai keberanian contohnya Pak Husain berani menembak perompak yang masih berada di dalam perahu dan rumah Pak Isa selamat dari dirompak
2. Nilai kebijaksanaan: Pak Husain berjaya memperdayakan tentera Jepun dengan membohongi mereka.
Satu nilai murni lain yang terdapat dalam keseluruhan cerpen.
1. Nilai kasih sayang. Mak Da menangisi kehilangan Pak Husain ketika mereka berpindah.
2. Nilai kebijaksanaan, contohnya Pak Husain bijak menggunakan tipu daya untuk menyelamatkan diri daripada askar Jepun.
3. Nilai patriotisme, contohnya Pak Husain sanggup menggunakan tongkat kayu untuk pergi menghadiri temasya sambutan hari kemerdekaan negara di sebuah kota kerana cinta akan negara.
4. Nilai kerjasama. Penduduk Kampung Pulau Pak Amat saling bekerjasama ketika menyelamatkan diri daripada serangan askar Jepun.
5. Nilai setiakawan: Bapa Khalid berjaga beberapa malam menjaga Pak Husain yang sakit dan meracau-racau setelah berjaya menyelamatkan diri dari tahanan Jepun.
6. Nilai berhemah tinggi: Khalid terus menegur Pak Husain yang ditemui semasa sambutan hari kemerdekaan negara lalu bersalam dan mengajak Pak Husain berbual-bual di sebuah kedai kopi.
SET 3 – PAHLAWAN BUNTUNG
Soalan 2(b) – Petikan Cerpen
Baca petikan cerpen di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.
Ketika itulah dia mengambil peluang untuk melarikan diri. Pak Husain menyeberangi sungai ke Tuk Lukup. Dari Tuk Lukup dia berjalan kaki ke Sungai Gali.
“Semua askar Punjabi mati. Kubu Kuala Pak Amat jatuh. Juga di Dasar dan Sabak.Jepun berada di mana-mana.”
Suara Pak Husain sangat lemah. Dia sudah dimandikan oleh Mak Bidah. Darahnya sudah dicuci. Tetapi semangat Pak Husain sudah hilang. Dia menjadi takut-takut. Dia selalu meracau dan menyebut apa-apa sahaja yang dilihatnya sebagai tentera Jepun. Dia melihat mayat di mana-mana, walaupun kami tidak melihatnya. Kwong yang menyerobot ke dalam perasaan Pak Husain sangat membimbangkan kami. Beberapa malam berikutnya ayahku tidak tidur-tidur kerana menjaga Pak Husain. Dia mesti dijaga. Dia yang bertanggungjawab dalam usaha menyelamatkan kami. Aku dapat bayangkan apa yang akan berlaku ke atas kami sekaliannya yang di pangkalan kalau tentera-tentera Jepun itu sempat turun. Bukankah keberanian dan sikap Pak Husain membohongi tentera Jepun itu telah menyelamatkan kami? Alangkah besar jasanya. Alangkah!
Kisah Pak Husain dipaksa supaya menguburkan mayat sehari suntuk telah berkembang dari mulut ke mulut. Kisah itu mengapung terus dari Kampung Dal ke kampung-kampung yang lain. Berkembang di Tebing Tinggi, di Dasar,di Kemumin, di Pancur, di Pulau Tukang Dolah dan di Teluk Kitang. Cerita itu tidak dirasakan baktinya selain kami penghuni asli kampung Pak Amat.
(Dipetik daripada cerpen “Pahlawan Buntung”, oleh S. Othman Kelantan,
dalam antologi Dirgahayu Bahasaku, Dewan Bahasa dan Pustaka)
(i) Nyatakan keadaan Pak Husain setelah berjaya melarikan diri daripada tentera Jepun.
[2 markah]
(ii) Pada pendapat anda, apakah bantuan yang akan anda berikan untuk mengembalikan semangat Pak Husain?
[3 markah]
(iii) Huraikan satu pengajaran yang terdapat dalam petikan dan satu pengajaran lain yang terdapat dalam keseluruhan cerpen.
[4markah]
SKEMA
SET 3 – PAHLAWAN BUNTUNG
Soalan 2(b) – Petikan Cerpen
(i)Dua keadaan Pak Husain setelah berjaya melarikan diri daripada tentera Jepun. (2m)
- Dia menjadi takut-takut.
- Dia selalu meracau dan menyebut apa-apa sahaja yang dilihatnya sebagai tentera Jepun.
- Dia melihat mayat di mana-mana, walaupun kami tidak melihatnya.
(ii)Bantuan untuk mengembalikan semangat Pak Husain. (3m)
- Menemaninya dengan selalu berada di sisinya dan tidak meninggalkan Pak Husain keseorangan.
- Membacakan di telinganya dengan ayat-ayat suci al-Quran.
- Berbual-bual dengannya supaya dia dapat melupakan peristiwa hitam tersebut.
- Memanggil orang yang pandai mengubat secara tradisional untuk memulihkan semangat Pak Husain.
- Memberikan kaunseling keagamaan agar Pak Husain dapat menerima takdir dan perancangan tuhan dengan reda.
(iii) Huraikan satu pengajaran yang terdapat dalam petikan
- Kita mestilah berani bertindak untuk menyelamatkan nyawa. Pak Husain berani membohongi tentera Jepun untuk menyelamatkan orang kampung.
Satu pengajaran lain yang terdapat dalam keseluruhan cerpen.
- Kita hendaklah mengenang jasa seseorang yang banyak berbudi kepada bangsa dan tanah air. Contohnya, penduduk Kampung Pulau Pak Amat mengenang jasa Pak Husain dan memanggilnya sebagai `pahlawan`.
- Kita hendaklah tabah menghadapi kesulitan dan keperitan hidup. Penduduk Kampung Pulau Pak Amat tabah menghadapi kesulitan dan keperitan sewaktu pendudukan Jepun di Tanah Melayu.
- Kita hendaklah bekerjasama dalam melakukan sebarang pekerjaan. Contohnya, penduduk Kampung Pulau Pak Amat bekerjasama ketika menyelamatkan diri daripada serangan askar Jepun.
- Kita hendaklah prihatin akan penderitaan orang lain, contohnya bapa Khalid sanggup berjaga malam untuk menjaga Pak Husain yang meracau-racau selepas berjaya menyelamatkan diri daripada tentera Jepun.
No comments:
Post a Comment