Latihan 1
Baca petikan cerpen di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri
Ceper terus menggila dan mengamuk juga sehingga seluruh anak buah kampung kami menjadi pada kedana tahun itu. Bapa kemudian kembali kepada ketitir juga, tetapi setiap kali bapa pulang dari rimba belantara berdenak burung, bapa pulang membawa gadung seguni dua. Tahun itu kami makan gadung itulah kerana padi habis jahanam kerana Sungai Ceper betul-betul mengamuk.
Dan ibu waktu itu macam Ceper juga, betul-betul naik angin dan mengamuk. Naik angin dan mengamuk menentang Ceper yang ganas dan tidak berperikemanusiaan itulah. Ibu akhirnya mengalah tetapi ibu tidak kalah seterusnya. Apabila Ceper kembali tenang dan air tidak lagi membedal, ibu kembali ke sawah semula dan tahun berikutnya kami tidak lagi makan gadung.
Sekali ibu kembali mengamuk lagi dan puncanya daripada Ceper itu juga. Kali ini bukan kerana banjir yang dibawa oleh Ceper yang melanda padi. Musim itu musim kemarau. Tidak sangka kemarau akan memanjang sampai berbulan-bulan. Sawah habis kering. Lembu kerbau asyik diheret ke Ceper saja untuk menghilangkan dahaga kerana semua telaga dan kubang di sawah kering. Baruh-baruh yang dulunya tidak pernah kering itu pun kering juga.
(Dipetik daripada
cerpen ‘Ibu dan Ceper’
oleh Shahnon Ahmad
dalam antologi Dirgahayu Bahasaku,
Dewan Bahasa dan Pustaka)
(i) Berikan kesan kemarau panjang seperti yang dinyatakan dalam petikan cerpen?
[2 markah]
(ii) Pada pendapat anda, apakah langkah yang perlu diambil untuk menghadapi musim kemarau?
[3 markah]
(iii) Huraikan satu pengajaran yang terdapat dalam petikan cerpen di atas dan satu pengajaran lain daripada cerpen tersebut. [4 markah]
Skema Jawapan Latihan 1
i. Kesan kemarau
- sawah habis kering
- semua telaga dan kubang di sawah kering
- baruh-baruh yang dulunya tidak pernah kering pun kering juga
ii. Langkah-langkah
- berjimat cermat menggunakan air
- sentiasa menyimpan air
- membina empangan yang lebih besar
iii. Pengajaran dalam petikan
- Kita hendaklah tabah menghadapi segala cabaran hidup. Contohnya ibu kembali ke sawah walaupun menghadapi musim kemarau yang panjang.
Pengajaran dalam cerpen
- Kita hendaklah mencintai alam sekitar
- Kita hendaklah membalas jasa ibu bapa
- Kita hendaklah bertanggungjawab menyara keluarga
- Kita hendaklah memelihara sungai daripada dicemari oleh aktiviti manusia yang tidak bertanggungjawab
Latihan 2
Baca petikan cerpen di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri
Aku bersama sahabat-sahabat sebaya bersorak dengan penuh tenaga apabila sekali-sekala kami turun ke lubuknya meragau ikan atau sekadar menyembunyikan pucuk-pucuk buluh bermain acilut.
Selesai sahaja subuh, ibu sudah berada di bumi. Kalau musim bersawah, di sawahlah. Kalau musim tetak mengkuang, di payalah. Kalau musim berderau di rumah kenduri atau bersama keluarga menziarahi mayat, ibu ada-ada saja kerjanya.
Begitulah Ceper pun, tetapi waktu malam Ceper cergas juga, malah terasa lebih lagi kerana dari rumahku dapat juga kedengar ngauman Ceper, terutama sewaktu air pasang, kerana di hulu hujan turun dengan lebatnya.
Ibu tidak lagi cergas waktu malam kerana ibu tidur tergolek bagaikan batang pisang. Tetapi apabila saja tiba subuh, ibu sudah bangun dan bersedia menempuh apa saja ujian atau cabaran pada siang hari.
Sekali itu Ceper tiba-tiba mengamuk macam naik angin. Hujan turun di hulu tidak henti-henti dan airnya keruh macam air susu. Habis sampah sarap dipunggah bersama, menumbangkan pokok-pokok yang tegak di tepi-tepi tebingnya, memuntahkan tanah hingga terkobak rata-rata.
Airnya yang keruh likat itu terhimbau naik ke sawah-sawah yang sedang membunting sarat padinya. Pokok-pokok padi habis tenggelam dan mati begitu saja. Sudahlah sampah sarap yang diangkut bersama, bangkai-bangkai binatang pun banyak yang terlekat di tiang-tiang rumah kami.
(Dipetik daripada
cerpen ‘Ibu dan Ceper’
oleh Shahnon Ahmad
dalam antologi Dirgahayu Bahasaku,
Dewan Bahasa dan Pustaka)
(i) Bagaimanakah keadaan Ceper apabila hujan turun tidak berhenti-henti
[2 markah]
(ii) Pada pendapat anda, apakah langkah yang perlu dilakukan untuk mengelakkan banjir di Sungai Ceper? [3 markah]
(iii) Huraikan satu perwatakan ibu dalam petikan cerpen di atas dan satu perwatakan lain yang terdapat dalam keseluruhan cerpen. [4 markah]
Skema Jawapan Latihan 2
i. Keadaan Ceper apabila hujan turun tidak berhenti-henti
- airnya keruh macam air susu
- memunggah sampah sarap
- menumbangkan pokok yang tegak di tepi tebingnya
- memuntahkan tanah hingga terkobak
ii. Langkah untuk mengelakkan banjir
- memperdalam dasar Sungai Ceper
- mengelakkan diri daripada membuang sampah ke dalam sungai
- mengadakan gotong-royong membersihkan sungai
- membersihkan sampah yang terdapat di dalam sungai
- membina empangan bagi mengawal aliran sungai
iii. Perwatakan ibu dalam cerpen
- Rajin : selepas solat Subuh ibu sudah berada di tanah
Perwatakan ibu dalam cerpen
- Tabah : Ibu tabah menghadapi pelbagai masalah semasa mengerjakan sawah
- Penyayang : Ibu menyayangi aku dan suaminya
- Bertanggungjawab : Ibu bertanggungjawab menyara keluarga dengan mengerjakan sawah
- Pemarah: Ibu marah-marah apabila Sungai Ceper banjir
Latihan 3
Baca petikan cerpen di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri
Aku masih ingat waktu itu ibu pun mengamuk juga. Dia marah sangat kepada Ceper sampai menyumpah-nyumpah kerana habis padi buntingnya mati lemas. Ibu menjerit pada bapa yang sejak pagi meninggalkan rumah untuk naik ke bukit berdenak ketitir.
Sebelum itu ibu tidak pernah berleter apa-apa, malah ibu bagaikan takut pada bapa yang telah menjadi kaki burung ketitir itu hingga semua hal rumah dan keluarga diserahkan bulat-bulat kepada ibu. Tetapi siang itu, sebelum bapa melangkah pergi bersama-sama denak rajanya, ibu menjerit. Nyaring betul suara ibu.
“Orang tak sedar diri. Tak tahu tanggungjawab. Air bah habis bunuh padi kita, awak masih cengkuih ketitir. Suami apa macam ini!”
Mungkin suara ibu macam suara air Ceper yang memukul dan membedal tebing hingga runtuh tanah-tanah, hingga terbongkeh perdu-perdu buluh yang mengapuk tebing.
Aku masih ingat lagi. Bapa dengan mudah sangkut kembali sarang denaknya ke paku di conggoh dan terus randuk banjir masuk ke dalam petak baruh untuk menolong ibu yang bergelumang dengan air keruh dan sampah sarap. Tetapi bapa tidak boleh buat apa-apa juga. Himbauan air Ceper kuat sangat sehigga bapa sendiri beberapa kali terkial-kial jatuh.
(Dipetik daripada
cerpen ‘Ibu dan Ceper’
oleh Shahnon Ahmad
dalam antologi Dirgahayu Bahasaku,
Dewan Bahasa dan Pustaka)
(i) Apakah punca yang menyebabkan kemarahan ibu? [2 markah]
(ii) Pada pendapat anda, apakah tanggungjawab seorang bapa terhadap keluarganya?
[3 markah]
(iii) Huraikan satu persoalan yang terdapat dalam petikan cerpen di atas dan satu persoalan lain yang terdapat dalam keseluruhan cerpen. [4 markah]
Skema Jawapan Latihan 3
i. Punca kemarahan ibu
- padi buntingnya mati lemas
- bapa yang sejak pagi meninggalkan rumah untuk naik ke bukit berdenak
ketitir
ii. Tanggung jawab bapa
- menyediakan keperluan asas keluarga
- mendidik anak-anak /menyediakan kemudahan asas untuk pelajaran anak-anak
- menjaga keselamatan keluarga dari ancaman bahaya
- menyayangi anggota keluarga
iii. Persoalan dalam petikan
- Kesusahan masyarakat petani
- Tanggungjawab ketua keluarga
Persoalan dalam cerpen
- ketabahan menempuh cabaran
- kasih sayang terhadap keluarga
- pencemaran alam sekitar
- bencana alam yang merugikan manusia
Latihan 4
Baca gurindam di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.
Gurindam 12 Fasal yang Keenam
Cahari olehmu akan sahabat,
Yang boleh dijadikan ubat.
Cahari olehmu akan guru,
Yang boleh tahukan tiap seteru.
Cahari olehmu akan isteri,
Yang boleh menyerahkan diri.
Cahari olehmu akan kawan,
Pilih segala orang setiawan.
(i) Apakah maksud rangkap kedua gurindam di atas? [2 markah]
(ii) Pada pendapat anda, apakah kebaikan memilih sahabat yang baik? [3 markah]
(iii) Huraikan dua pengajaran yang terdapat dalam gurindam di atas. [4 markah]
Skema Jawapan Latihan 4
i. Maksud rangkap kedua
- Cadangan agar mencari guru yang benar-benar berilmu
ii. Kebaikan memilih sahabat yang baik
- sahabat akan membantu kita semasa susah dan senang
- memudahkan kita menyelesaikan sesuatu kerja
- sebagai pendorong kea rah kebaikan
- tempat berkongsi masalah dan rahsia
iii. Pengajaran
- Kita hendaklah mencari sahabat yang sanggup bersama-sama ketika susah dan senang.
- Kita perlu memilih isteri yang setia agar hidup bahagia
- Kita mesti berguru dengan orang yang berilmu dalam bidang yang diceburi
Latihan 5
Baca gurindam di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.
Gurindam 12 Fasal yang Keenam
Cahari olehmu akan sahabat,
Yang boleh dijadikan ubat.
Cahari olehmu akan guru,
Yang boleh tahukan tiap seteru.
Cahari olehmu akan isteri,
Yang boleh menyerahkan diri.
Cahari olehmu akan kawan,
Pilih segala orang setiawan.
(i) Berikan maksud
Cahari olehmu akan sahabat,
Yang boleh dijadikan ubat. [2markah]
(ii) Pada pendapat anda, apakah kebaikan isteri yang setia? [3 markah]
(iii) Huraikan dua nilai kemanusiaan yang terdapat dalam gurindam di atas. [4 markah]
Skema Jawapan Latihan 5
i. Maksud
- Cadangan agar mencari sahabat yang boleh dijadikan teman apabila dalam kesusahan
ii. Kebaikan isteri yang setia
- rumah tangga dapat diurus dengan sempurna
- anak-anak akan cemerlang
- maruah diri dan suami akan terpelihara
- wujud keluarga yang bahagia
iii. Nilai dalam gurindam
- kebijaksanaan
- berhati-hati
- ketaatan
- kasih sayang
Latihan 6
Baca gurindam di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.
Gurindam 12 Fasal yang Keenam
Cahari olehmu akan sahabat,
Yang boleh dijadikan ubat.
Cahari olehmu akan guru,
Yang boleh tahukan tiap seteru.
Cahari olehmu akan isteri,
Yang boleh menyerahkan diri.
Cahari olehmu akan kawan,
Pilih segala orang setiawan.
(i) Berikan maksud
Cahari olehmu akan isteri,
Yang boleh menyerahkan diri. [2 markah]
(ii) Pada pendapat anda, apakah ciri-ciri kawan yang baik? [3 markah]
(iii) Huraikan dua persoalan yang terdapat dalam gurindam di atas. [4 markah]
Latihan 6
i. Cadangan agar mencari isteri yang setia
ii. Ciri-ciri kawan yang baik
- sentiasa sedia memberi pertolongan
- sanggup memberi nasihat
- sedia memberi tunjuk ajar
- memberi kitikan/komen yang jujur
iii. Persoalan
- Kepentingan mencari sahabat yang baik
- Kepentingan mencari guru yang berilmu
- Kepentingan memilih isteri yang setia
- Kepentingan mencari kawan yang baik