3.SYAIR MAKNA RIAK
Mohd Yusof Md Nor dan Abd Rahman Kaeh (Penyelenggara)
Kemudian dinyatakan makna riak,
Amal ibadat kerana manusia
Inilah lkebencian Tuhan yang sedaya,
Sebab kerana syirikkan Dia.
Terkadang riak pula dilakukan,
Mengiringkan beberapa puasa tak makan,
Bertutur itu suara diperlahankan,
Tubuh dan badan tidak dihiraukan.
Supaya disangka ianya wali,
Akan dunia tidak dipeduli,
Hemahnya itu sangatlah ali,
Tetapi hatinya ke dunia bertali.
Terkadang riakkan ia berilmu,
Bersurah ketika orang berjamu,
Berkata-kata tidaklah jemu,
Nahu dan sarap habis disapu.
Terkadang bercakap ilmunya mantik,
Bicara alhayat konon diselidik,
Supaya disangka ianya cerdik,
Sukalah orang memberinya gundik.
Terkadang riak dengan pakaian,
Berserban lilit ekor berhambayan,
Sejadah di bahu bersampaian,
Tasbih di tangan beruitan.
Pejamkan mata duduk bersila,
Lidah berzikir Allah Taala,
Terkadang jazbah seperti gila,
Kasadnya hendak jadi kepala.
Riak demikian menjadi balak,
Amal itu tentu ditolak,
Terkadang dilemparkan ke mukanya pulak,
Allah Taala sualak.
Puisi Melayu Tradisi 1993
Oxford Fajar Sdn. Bhd.
Maksud perkataan
1. ali = tinggi (Arab)
2. balak = bala – bencana/malapetaka
3. berhambayan = melambai-lambai
4. bersampaian = tersidai/tersampir di bahu
5. beruitan = bergerak sedikit
6. gundik = bukan isteri gahara /isteri tidak rasmi/perempuan simpanan
7. jazbah = keadaan diri yang sedar bahawa Allah mendahului segala-galanya
apabila melihat sesuatu
8. kasad = maksud/niat/tujuan
9. mantik = akal(sebab dan musabab tentang sesuatu kejadian )
10. nahu = tatabahasa
11. riak = i.suka menunjuk-nunjukkan amalm ibadah atau sesuatu kabaikan
untuk mendapai pujian manusia
ii. BERBUAT SESUATU BUKAN KERANA ALLAH TETAPI
KERANA MAHUKAN PUJIAN DARIPADA MANUSIA.
12. sarap = i. Sampah
ii. lapik dengan bahan yang nipis (kain dll.)
iii.penyakit kulit
13. sualak = suka
14. syirik = perbuatan menyegutukan Allah/menganggap Allah itu banyak
15. wali = orang yang rapat hubungannya dengan Allah SWT
16. zikir = perbuatan mengingati Allah SWT dengan ucapan/kalimah yang
diulang-ulang
TEMA
Sifat riak yang ada dalam diri manusia
Sifat suka menunjuk-nunjuk kelebihan diri
PERSOALAN
i. Manusia yang sering berpura-pura agar diri dipandang tinggi dan dipuji manusia
ii. Kebencian Allah SWT terhadap manusia yang memiliki sifat riak
iii. Manusia yang menggunakan alaman agama sebagai cara untuk mencari kedudukan tinggi dalam masyarakat.
PENGAJARAN:
i. Kita hendaklah melakukan sesuatu perkara/pekerjaan semata-mata kerana Allah SWT
ii. Kita mesti ikhlas melakukan kebaikan semata-mata kerana Allah SWT
iii. Kita jangan menggunakan agama sebagai landasan untuk mencari sanjungan manusia.
iv. Kita hendaklah menyembunyikan amal kebaikan daripada diketahui manusia agar tidak ada perasaan riak akan kebaikan yang dibuat.
v. Kita jangan mengundang kebencian Allah SWT dengan perbuatan yang melampau dalam beribadat.
vi. Kita jangan menggunakan amalan agama untuk mengejar kedudukan sebagai pemimpin.
MASYARAKAT
i. Masyarakat yang mementingkan kedudukan dan sanjungan.
ii. Masyarakat yang memiliki sifat riak dan suka menunjuk-nunjuk kelebihan diri.
iii. Masyarakat yang menggunakan agama untuk mencari kedudukan dan pujian dalam masyarakat.
iv. Masyarakat yang membelakangkan keikhlasan dalam melaksanakan tugas.
MAKSUD RANGKAP SYAIR
a. TAKRIF RIAK IALAH AMAL IBADAT DIBUAT HANYA UNTUK MANUSIA MERUPAKAN PERBAUATAN YANG PALING DIBENCI OLEH ALLAH SWT
b. ADA SESETENGAH MANUSIA MELAKSANAKAN IBADAT PUASA DENGAN TUJUAN DIPUJI TENTANG KELEBIHANNYA TIDAK MAKAN, BERTUTUR DENGAN SUARA YANG RENDAH DAN TIDAK MEMPEDULIKAN KESIHATAN DIRI.
c. SESETENGAHNYA PULA TIDAK MAHU LANGSUNG MENIKMATI KESENANGAN DUNIA SEDANGKAN SEBENARNYA DI DALAM HATI PENUH DENGAN KEINGINAN UNTUK MENCARI KESENANGAN MATERIAILISTIK.
d. ADA SESETENGAH MANUSIA SUKA MENUNJUK-NUNJUKKAN KEKEBIHAN ILMUNYA DI HADAPAN KHALAYAK RAMAI
e. ADA YANG MENGGUNAKAN ILMU UNTUK MENUNJUK-NUNJUK KEARIFAN BERBINCANG TENTANG KEJADIAN ALAM AGAR DIKAGUMI ORANG LAIN SEHINGGA DITAWARKAN PEREMPUAN-PEREMPUAN UNTUK DIJADIKAN ISTERI
f. SESETENGAH MANUSIA PULA BERSIFAT RIAK MELALUI CARA BERPAKAIAN AGAR DIKATAKAN ALIM. TANGAN SENTIASA MEMBILANG TASBIH
g. SESETENGAH MANUSIA PULA ASYIK BERZIKIR TANPA HENTI AGAR DILIHAT MANUSIA SEORANG YANG HEBAT ILMU AGAMANYA SUPAYA DIPILIH MENJADI PEMIMPIN.
h. KESEMUA SIFAT RIAK DI ATAS TIDAK DISUKAI ALLAH SWT.
SEGALA AMALAN DITOLAK ALLAH SWT
SEMUA AMALAN DICAMPAK SEMULA KE MUKA PENGAMALNAY.
SOALAN PEMAHAMAN
Set 1
i. Nyatakan ciri-ciri orang yang riak berdasarkan syair di atas.
ii. Mengapakah kita mesti menjauhi sifat riak ?
iii. Jelaskan tiga persoalan daripada syair di atas.
Set 2.
a. Jelaskan perlakuan orang yang riak dalam rangkap syair di bawah
Supaya disangka ianya wali,
Akan dunia tidak dipeduli,
Hemahnya itu sangatlah ali,
Tetapi hatinya ke dunia bertali.
b. Pada pendapat anda, bagaimanakah kita hendak melakukan sesuatu perkara dengan ikhlas.
c. Huraikan tiga pengajaran daripada syair di atas
No comments:
Post a Comment